Pembaziran pada bulan Mulia..








SALAM Ramadan buat semua muslimin dan muslimat.


Puasa pada bulan Ramadan ini mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa!"


Berdasarkan ayat ini, jelas sekali pensyariatan puasa bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan kita sebagai hamba kepada-Nya.


Malangnya, tidak ramai yang sedar dan menghayati hikmah puasa ini. Rata-rata, sama ada secara sedar atau tidak, lebih banyak melakukan pembaziran ketika berbuka puasa malah, ketika menyambut hari raya.


* Ketika berpuasa

Berpuasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari.


Di samping perkara yang membatalkan puasa, ada juga perkara-perkara lain yang dikategorikan sebagai mengurangkan pahala puasa.


Membazir adalah antara salah satu daripadanya. Ramai yang tanpa rasa bersalah melakukan pembaziran menyebabkan pahala puasanya bagaikan seketul air batu, paginya kekal berbentuk kiub dan ketika beransur petang, makin cair dan cair kemudian terus hilang.


* Ketika berbuka puasa

Antara hikmah berpuasa adalah mereka yang berkemampuan dapat merasai peritnya kehidupan mereka yang miskin hingga terpaksa berlapar. Namun, ramai yang menjadikan waktu berbuka puasa bagaikan satu majlis kenduri.


Kalau siangnya tidak boleh menjamah apa-apa hidangan maka, waktu berbuka puasa dihidangkan dengan segala macam juadah yang selalunya tidak sampai separuh disentuh.


Mungkin ada yang berpendapat, terpaksa berbuat begitu kerana mengikutkan kehendak anak-anak yang masih kecil berpuasa. Tidak salah memenuhi keinginan anak, tetapi biarlah berpada-pada.


* Ketika menyambut raya

Puasa belum seminggu tapi percayalah sudah ramai yang telah melakukan persiapan raya. Baju sudah siap dijahit, langsir sudah siap dibeli dan kuih-kuih telah ditempah.


Mungkin ada yang berpendapat, bersedia sebelum Ramadan lebih mudah dan mungkin lebih murah.


Namun, pada hakikatnya apabila memasuki pertengahan Ramadan dengan segala macam promosi membeli-belah dan potongan harga, lazimnya ramai yang akan sakan berbelanja.


* Mengelakkan pembaziran

Terdapat dua persediaan bagi menjalani Ramadan tanpa adanya pembaziran sama ada pembaziran wang atau tenaga.


1. Persediaan diri

Perlu tanamkan dalam diri, bulan Ramadan adalah untuk menambah amalan. Puasa pula sebagai satu bentuk pendidikan ke atas diri agar lebih sabar, amanah dan ikhlas.


2. Persediaan ilmu

Hayati hikmah puasa, pelajari amalan yang membantu menambahkan pahala dan usahakan untuk melaksanakannya. Jika diri terlalu sibuk mengejar pahala berganda ketika Ramadan tiba, pasti tiada masa untuk membazir atau membuang masa secara sia-sia.




p/s: x sempat agi nk g bazar taun ni........




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...